Connect with us

Berita Pendidikan

FAQ KPM: Pergerakan Guru Kembali Ke Sekolah 9-23 Jun 2020

Published

on

surat pembukaan semula sekolah

PEMAKLUMAN BERHUBUNG KEHADIRAN GURU KE TEMPAT BERTUGAS DAN PERSEDIAAN PEMBUKAAN SEMULA SEKOLAH

Sukacita dimaklumkan, YB Menteri Kanan Pendidikan telah membuat pengumuman bahawa sekolah akan dibuka semula pada 24 Jun 2020. Tempoh masa sehingga tarikh tersebut merupakan jangka masa kritikal untuk pihak sekolah membuat persediaan rapi dengan sewajarnya.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan Surat Siaran KPM Bilangan 5 Tahun 2020: Garis Panduan Pembukaan Semula Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia bertarikh 4 Jun 2020 sebagai rujukan kepada semua institusi pendidikan termasuk Kolej Vokasional dan Kolej Tingkatan Enam (6) di bawah KPM dan Institusi Pendidikan Swasta yang berdaftar dengan KPM.

KPM juga telah membuat ketetapan berkaitan pergerakan guru ke tempat bertugas melalui Surat Pemakluman Mengenai Arahan Kepada Guru Kembali Ke Tempat Bertugas bertarikh 4 Jun 2020. Pengetua dan Guru Besar (PGB) perlu memberikan pertimbangan kepada guru untuk kembali ke tempat bertugas dan melaksanakan tugasan di sekolah.

Ketetapan ini selaras dengan Arahan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Bilangan 2 Tahun 2020: Garis Panduan Pengoperasian Pejabat Jabatan Perkhidmatan Awam Bagi Tempoh Semasa Dan Selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bertarikh 6 Mei 2020.

Kehadiran guru ke sekolah sebagai penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [(P.U.(A) 395/1993)] dan peraturan-peraturan lain yang dikeluarkan dari semasa ke semasa. Ketidakpatuhan terhadap peraturan dan arahan ini membolehkan tindakan tatatertib diambil oleh Ketua Jabatan.

Kehadiran Guru Mulai 7 dan 8 Jun 2020

Kehadiran semua guru ke sekolah mulai 7 Jun 2020 (Sekolah Kumpulan A) dan 8 Jun 2020 (Sekolah Kumpulan B) adalah atas arahan PGB untuk melaksanakan pelbagai tugasan. Antaranya ialah:

  1. Membuat persiapan agar sekolah bersedia sepenuhnya untuk menerima kehadiran semua murid secara berperingkat. Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) khususnya berkaitan amalan penjarakan sosial, penjagaan kebersihan dan mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 mesti diberi keutamaan;
  2. Menyediakan bilik Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), makmal, bilik guru, kantin, asrama dan semua keperluan murid di sekolah yang mematuhi sepenuhnya Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah;
  3. Merancang PdP melalui pendekatan yang bersesuaian berdasarkan model sesi persekolahan yang sesuai bagi sekolah berkenaan; Menyediakan bahan PdP yang lebih efektif untuk semua murid sama ada yang hadir ke sekolah mulai 24 Jun 2020 (murid kelas peperiksaan) atau murid lain yang meneruskan sesi pembelajaran di rumah;
  4. Merancang strategi PdP pada peringkat panitia untuk murid yang belajar di rumah;
  5. Melaksanakan PdP dengan memaksimumkan semua kemudahan yang terdapat di sekolah;
  6. Mengadakan perbincangan dan perkongsian antara guru di sekolah berkaitan PdP yang berkesan; dan Melaksanakan tugasan-tugasan lain yang diarahkan oleh PGB.

Guru Semenanjung yang Bertugas di Sabah dan Sarawak

Bagi guru dari Semenanjung yang bertugas di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan atau sebaliknya yang menghadapi masalah pengangkutan atau kesihatan untuk pulang ke tempat bertugas mesti menghubungi PGB.

Penggiliran Untuk Guru Mempunyai Anak OKU

PGB juga boleh memberikan pertimbangan untuk guru bekerja dari rumah ataupun secara penggiliran jika guru berkenaan dalam kategori pasangan suami isteri yang bekerja, mempunyai anak berusia 12 tahun ke bawah atau anak berstatus Orang Kurang Upaya dan memerlukan penjagaan berterusan.

Suami Isteri Merupakan Penjawat Awam

Walau bagaimanapun, bagi pasangan suami isteri yang merupakan penjawat awam, hanya seorang (1) sahaja yang boleh menggunakan kemudahan ini pada satu-satu masa sehingga sekolah atau pusat penjagaan kanak-kanak dibuka semula.

Bersama-sama ini juga disertakan Soalan Lazim (FAQ) berkaitan kehadiran guru pulang ke tempat bertugas dan menjalankan tugas yang diarahkan oleh PGB.

SOALAN LAZIM (FAQ) BERKAITAN PERGERAKAN GURU KEMBALI KE SEKOLAH  DALAM TEMPOH 9 HINGGA 23 JUN 2020

  • Adakah semua guru perlu berada di tempat bertugas selepas tamat Cuti Pertengahan Tahun pada 7 atau 8 Jun 2020?
    • Ya, selaras dengan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui surat Pemakluman Mengenai Arahan kepada Guru Kembali ke Tempat Bertugas bertarikh 4 Jun 2020.
  • Bagaimanakah jika guru mengalami masalah untuk kembali ke tempat bertugas?
    • Guru hendaklah memaklumkan dan mendapatkan pertimbangan Pengetua/Guru Besar jika menghadapi masalah pengangkutan dan kesihatan yang menyebabkan mereka tidak boleh kembali ke tempat bertugas.
  • Adakah semua guru perlu hadir bertugas di sekolah bagi membuat persediaan sebelum pembukaan semula sekolah?
    • Ya. Semua guru termasuk guru sekolah menengah dan sekolah rendah perlu hadir bertugas apabila diarahkan oleh Pengetua/Guru Besar bagi melakukan persediaan pembukaan sekolah.
  • Apakah yang akan berlaku sekiranya guru gagal untuk ke sekolah dan menjalankan tugas yang diarahkan oleh Pengetua/Guru Besar?
    • Guru ialah penjawat awam yang tertakluk pada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 [PUA 395/93]. Tindakan tatatertib boleh diambil terhadap guru sekiranya gagal ke sekolah dan menjalankan tugas yang diarahkan oleh Pengetua/Guru Besar.
  • Adakah guru perlu melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam tempoh persediaan sebelum sekolah dibuka semula?
    • Ya. Guru perlu melaksanakan PdP.

surat pembukaan semula sekolah

SOALAN LAZIM (FAQ) BERMULA 23 Jun 2020

  • Adakah semua guru di sekolah menengah dan sekolah rendah perlu hadir bertugas di sekolah walaupun hanya murid kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang hadir ke sekolah?
    • Ya, seperti yang dijelaskan dalam soalan 1, semua guru perlu hadir bertugas di sekolah untuk melaksanakan tugasan seperti yang diarahkan oleh Pengetua/Guru Besar.
  • Apakah tugas guru yang tidak terlibat dengan kelas peperiksaan?
    • Guru perlu melaksanakan home-based leamIng sepanjang tempoh tersebut. Pendekatan PdP boleh dipelbagaikan dengan akses kepada kemudahan-kemudahan yang ada di sekolah. Pendekatan home-based leaming ini termasuk penggunaan pelantar pembelajaran digital, percetakan kerja sekolah untuk murid dan lain-lain. Guru juga boleh membantu dari segi PdP bagi kelas peperiksaan apabila perlu dan diarahkan dari semasa ke semasa di samping tugas-tugas lain yang berkaitan.
  • Adakah guru yang berimuniti badan yang rendah boleh bekerja dari rumah?
    • Bagi tujuan bekerja dari rumah, guru berimuniti badan yang rendah hendaklah mengemukakan surat permohonan berserta dokumen sokongan kepada Pengetua/Guru Besar untuk pertimbangan selanjutnya.
  • Bagaimanakah kehadiran guru bagi sekolah dua sesi?
    • Kehadiran guru bagi sekolah dua sesi bergantung pada perancangan Pengetua/Guru Besar. Pengetua/Guru Besar boleh mengekalkan kehadiran guru hadir dua sesi atau mengatur jadual kehadiran semua guru termasuk guru sesi petang untuk hadir ke sekolah pada sebelah pagi dengan mengambil kira aspek penjarakan sosial.
  • Bagaimanakah dengan kehadiran guru yang menghadapi masalah penjagaan anak di bawah umur 12 tahun atau anak Orang Kurang Upaya (OKU) disebabkan oleh penutupan taska atau pusat jagaan kanak-kanak OKU, terutamanya apabila kedua-dua pasangan terpaksa bekerja?
    • Pengetua/Guru Besar boleh memberikan pertimbangan untuk guru bekerja dari rumah ataupun secara penggiliran jika guru berkenaan dalam kategori pasangan suami isteri yang bekerja, mempunyai anak berusia 12 tahun ke bawah atau anak berstatus OKU dan memerlukan penjagaan berterusan. Walau bagaimanapun, bagi pasangan suami isteri yang merupakan penjawat awam, hanya seorang (1) sahaja yang boleh menggunakan kemudahan bekerja dari rumah pada satu-satu masa sehingga sekolah atau pusat jagaan dibuka semula.
  • Adakah guru boleh membawa anak ke sekolah jika menghadapi masalah penjagaan?
    • Tidak boleh. Guru hendaklah berbincang dengan Pengetua/Guru Besar untuk mempertimbangkan keperluan bertugas di sekolah secara penggiliran dan fleksibel.

Muat Turun [PDF]

Continue Reading
Advertisement
1 Comment

1 Comment

  1. Mohd Arifin

    June 17, 2020 at 11:26 am

    Assalamualaikum…

    Berhubung maklumat tersebut, boleh tak saya nak dapatkan link yang sah download FAQ tersebut drpd KPM…. untuk menunjukkan berita benar & berita yang sah oleh kerana sehingga sekarang hari ini (17 Jun 2020) saya masih tidak dapat mengesahkan FAQ tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending