Semak Kurikulum dan Ringankan Silibus Pembelajaran

Perkongsian artikel Semak Kurikulum dan Ringankan Silibus Pembelajaran ini merupakan bacaan santai untuk guru-guru. Tulisan Cikgu Khairul Kamilin.

Sebelum munculnya pandemik, kita dalam mode memecut laju dan dalam momentum yang tinggi untuk mencapai transformasi dalam pendidikan.

Ia perkembangan yang amat baik dengan naratif yang sangat baik dalam memacu pendidikan kita setaraf negara maju di dunia.

Namun ketika keghairahan kita semakin memuncak, dunia dikejutkan dengan pandemik covid-19. Satu dunia ditimpa petaka. Bukan kita sahaja.

Hampir hilang arah untuk lalui

Usaha kita seakan terhenti seketika. Kita kena akui kita hampir hilang arah. Semuanya terlalu baru untuk dilalui.

Justeru menyalahkan mana-mana pihak bukan solusinya. Sebagaimana rencam situasi itu baru untuk engkau, ia juga baru untuk aku. Sebagaimana ia mengesankan marhaen bawahan, impaknya turut dapat dijiwai oleh paduka seri sultan.

Oleh itu kita ini nak mula dari mana? Pendapat peribadi saya, kita kena mula menyemak semula kurikulum dan silibus pembelajaran.

Semak kurikulum dan silibus pembelajaran

Ketika memecut laju saat di luar musim pandemik, kederasan perubahan itu begitu dirasai ibu bapa. Tetapi dek kerana keupayaan masih ada, digagahkan juga.

Tanyalah siapa pun dalam kalangan kita. Pasti sedar. Subjek yang dulu kita belajar masa tingkatan 1, kini budak tahun 4 dah belajar. Kalau dulu masuk tahun 1, segalanya seperti baru mula, tapi kini masuk tahun 1 sudah seolahnya wajib pandai baca tulis kira.

Aras kesukaran semakin tinggi. Soalan semakin berbelit dan membelit. KBAT kadangkala dirangka bukan untuk mencerdikkan tetapi memutar-alamkan.

Dalam arus pecutan yang tak terkejar dek ibu bapa ketika ini, anak-anak yang dididik ibu bapa golongan profesional mungkin ada sedikit peluang untuk menceduk kelebihan. Jika pun tidak mengajar sendiri, masih ada ruang hantar ke kelas tambahan dan tutor peribadi.

Follow kami menerusi media berikut:
Facebook TchercollectionTelegram Tchercollection

Soalnya kini kita sudah tidak lagi berada dalam norma biasa. Fizikal sudah kita jarakkan. Hubungan sudah kita renggangkan. Maka tibalah masa silibus pembelajaran juga diringankan.

Ya, ia memang langkah yang agak terkebelakang. Tetapi kalau kita pecut laju-laju pun, kita nak ke mana sekarang ni?

Sekali lagi saya ulang. Kita laju-laju ni nak ke mana sebenarnya? Nak kejar ranking dunia? Dunia pun dah tak ambil bicara. Semua sibuk fikir survival diri dan cara nak selamatkan rakyatnya dari merana.

Anak-anak sudah hilang sentuhan dengan realiti. Komunikasi interpersonal, ‘out’. Sosialisasi dengan kawan terbantut.

Tidak tahu bila penghujung pandemik

Pandemik tak tahu bila penghujungnya. Setelah proses vaksinisasi mungkin selepas itu terkawal. Namun bagaimana pula jika ada variasi baru? Virus baru?

Jutaan mula hilang pekerjaan. Yang masih pulun minta anak pecut laju-laju belajar tadi ini, andai kata habis belajar sampai ke universiti pun, selepas itu apa? Join statistik penganggur tanpa kerja?

Tidak sekali-kali menidakkan kepentingan pelajaran dan pendidikan. Namun jika faham apa yang dimaksudkan, sudah tiba masanya untuk kita longgarkan sedikit silibus yang menekan.

Rata-rata ibu bapa pun dah boleh bersetuju dengan satu perkara:”Tak apalah belajar sikit dari tak belajar apa. Yang penting penguasaan asas membaca, menulis, mengira semua berjaya. Kita dah tak target lah anak dapat capai semua”.

Adakah perkara ini tidak disedari orang atasan? Tidak. Mereka amat sedar dan mereka gigih melakukan perbincangan disetiap lapis peringkat. Namun perancangannya belum dibentang.

Penjajaran kurikulum dan Program transisi 43 hari tahun 1 adalah bibit bukti kefahaman mereka bahawa masalah yang kian meruncing perlu ditangani segera.

Semua orang sedang berusaha, henti menyalahkan

Masih ingat point saya kata, jangan salahkan sesiapa kerana semua pun berusaha.

Kita kena akui dan terima realiti pahit sekiranya anak kita termasuk dalam ‘generasi cicir’ ini. Ia bukan sahaja di Malaysia, tapi jutaan keciciran seluruh dunia.

Justeru perubahan besar-besaran perlu dilakukan. Rombakan kurikulum pastinya melibatkan kos yang sangat besar. Tetapi keciciran sebuah generasi dek kerana tak terkejar dengan silibus sedia ada, impaknya jauh lebih besar dan merugikan negara.

Banyak kebiasaan perlu diubah. Tidak cukup dengan kebiasaan fizikal tetapi juga rutin. Kalau biasa semuka lima hari seminggu, Isnin-Jumaat atau Ahad-Khamis, sudah boleh mula pertimbangkan bilangan semuka lebih minima misalnya 2 atau 3 hari sahaja dan pembelajaran hibrid di peringkat sekolah diluaskan. Pembelajaran online saja tak cukup. Semuka selalu pula mengundang bahaya. Tapi ia perlu. Sepaling minima 2 hari seminggu pun jadilah. Murid mesti mengadap muka cikgu. Segala persoalan dan pengajaran boleh diperjelas.

Mari sama-sama berusaha

Bila berlaku penggiliran, pembelajaran akan sedikit lambat. Tapi guru tak akan terkejar-kejar setelah silibus juga dilonggarkan. Tidak akan timbul juga isu cikgu lambakkan kerja kerana setiap pengajaran, ada cukup masa untuk guru menilai kefahamannya ketika semuka.

Kita tidak akan tahu kita akan begini sampai bila. Tapi kita boleh jangka, yang terburuk boleh jadi bila-bila masa.

Pegang tangan, rangkul erat, marilah kita sama-sama berusaha. Tidak tuding jari kepada siapa-siapa tapi dalam masa yang sama, jangan culas dalam menjaga generasi kita.

Anak kita, anak mereka, anak bangsa, anak Malaysia.#khairulkamilin

Penutup

Sebagai penutup kata, kami mempelawa semua guru, murid, ibu bapa atau mana-mana pihak untuk terus menyumbangkan bahan untuk dikongsikan di laman web tchercollection.com.

Jangan lupa untuk berkongsi kepada rakan-rakan melalui aplikasi atau platform lain seperti Facebook, WhatsApp dan Telegram. Klik pada butang Share di bawah. Semoga bermanfaat !

Jika ingin menymbang bahan-bahan ilmiah dan bahan-bahan berkaitan bidang pendidikan bolehlah kongsikan melalui emel [email protected] atau melalui Telegram t.me/tchercollection.

Leave a Comment

error: Content is protected !!